SAJAK
Secara umumnya, bentuk sajak dapat dibahagikan kepada dua, iaitu bentuk luaran dan bentuk dalaman. Dharmawijaya (Berkenalan dengan Puisi, 1988:19) menyatakan bahawa sifat-sifat luaran sajak ialah susunan baris atau bait dalam rangkap, susunan atau jumlah perkataan dalam baris dan susunan rima di hujung baris dalam rangkap. Istilah lain untuk susunan baris dan bunyi dalam sajak ialah meter. Istilah meter ini digunakan oleh Muhammad Haji Salleh atau lebih dikenali sebagai Pak Sako. Selain itu, meter juga digunakan untuk mengukur tekanan tinggi dan rendah dalam penyebutan suku kata dalam baris-baris sajak (Pengalaman Puisi Edisi Kedua, 2005: 15).
Menurut Hashim Awang, bentuk dalaman sajak terdiri daripada tema atau maksud, perasaan, nada dan tujuan atau lebih tepat lagi disebut sebagai pemikiran. Sementara itu, bagi Dharmawijaya bentuk dalaman sajak lebih bersifat abstrak bergantung pada cara bagaimana fikiran, emosi dan perasaan diungkapkan oleh penyair (1988: 22). Hal ini seiring dengan pendapat Muhammad Haji Salleh yang menyatakan bahawa bentuk dalaman sajak merupakan ciptaan di bawah sedar yang bercampur antara intelek, perasaan, daya estetik dan pendengaran penyair. Jelasnya sajak yang baik akan dapat menyerlahkan pemikiran pengarangnya yang mungkin boleh ditafsirkan dalam pelbagai makna bergantung pada pengalaman dan tahap ilmu pembacanya.
BENTUK SAJAK
Sajak mempunyai beberapa baris rangkap dan paling minimum sesebuah sajak mempunyai hanya satu rangkap sahaja. Selain rangkap, istilah lain yang digunakan untuk membicarakan sajak ialah bait dan stanza. Dalam sesuatu rangkap terdiri daripada beberapa baris. Baris-baris ini memperlihatkan bentuk sebenar sajak dan jumlah ini adalah berbeza bagi setiap rangkap dalam sesebuah sajak. Terdapat beberapa jenis istilah yang menerangkan jumlah baris dalam sesebuah rangkap sajak, iaitu :
Monoton – bentuk sajak yang mengandungi satu baris dalam satu rangkap
Distikon – bentuk sajak yang mengandungi dua baris dalam satu rangkap
Terzina - merujuk kepada sajak yang mengandungi tiga baris serangkap
Quatrain – sajak yang mengandungi empat baris dalam satu rangkap
Quint – sajak yang mengandungi lima baris bagi setiap rangkap
Sekstet – sajak yang mengandungi enam baris serangkap
Septain – sajak yang mengandungi tujuh baris serangkap
Oktaf – sajak yang mengandungi lapan baris serangkap
Soneta – sajak yang mengandungi 14 baris yang semuanya dengan empat baris serangkap, iaitu rangkap pertama dan kedua masing-masing empat baris manakala rangkap ketiga dan keempat masing-masing mengandungi tiga baris.
Jumlah suku kata bagi sesebuah sajak adalah tidak terikat. Walau bagaimanapun, terdapat sajak yang secara tidak langsung terpengaruh dengan jumlah suku kata yang terdapat dalam pantun dan syair. Sekiranya sajak itu terpengaruh dengan bentuk puisi tradisi, sajak tersebut dikatakan sajak terikat.
Rima memberikan nada atau rentak yang menarik bagi sesebuah sajak. Rima merujuk kepada rentak bunyi sama ada secara pengulangan atau bertentangan yang terdapat pada baris-baris sajak bagi bait-bait tertentu. Rima boleh hadir pada awal, tengah atau di hujung baris sajak. Rima awal dikenali sebagai anafora manakala rima akhir dikenali sebagai epifora.
CONTOH SAJAK
Sajak Laut
Ismail Sharif
Laut ini begitu biru
laut ini begitu luas
laut ini begitu indah.
Betapa bahagianya hati
laut ini membuatku bahagia
laut ini begitu tenang
begitu kaya.
Kulihat pasir putih
kulihat kerang
kurasakan ombak menyapa kaki
dan kurasakan
angin pantai membelai.
Seorang nelayan jauh di sana
berdiri di atas perahu kecil
menebarkan jala
mencari ikan untuk keluarga.
Burung laut menari-nari di sana
mengepak-ngepakkan sayapnya
begitu gembira mereka bernyanyi
bagai berlumba
dengan nyanyian ombak.
Setengah matahari kulihat di seberang
di seberang laut biru ini
bagai malu-malu ia mengintip
namun dengan setia
memberi sinarnya.
Hai, laut biru
hari ini juga aku nyatakan
kau adalah saudaraku!
Memoir Satu Ketika, 2007
Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.
0 comments:
Post a Comment