TEROMBA
Definisi
•Kamus Dewan (hlm. 1435), sejarah yang diceritakan dalam bentuk perbilangan, tambo, atau riwayat.
•Harun Mat Piah (hlm. 424), puisi bebas yang mengandungi konotasi adat yang digunakan sebagai panduan dan amalan.
•aspek semantik - tambo yang bermaksud babad, hikayat atau riwayat kuno.
•susunan undang-undang adat yang disampaikan dalam bentuk puisi.
Ciri-ciri Teromba
- Sejenis puisi bebas yang tidak tentu jumlah baris, rima, atau jumlah kata dalam baris.
- Terdapat sisipan puisi lain, iaitu pantun, gurindam dan peribahasa.
- Isinya berkaitan dengan undang-undang dan adat istiadat yang diamalkan oleh masyarakat.
Bentuk Teromba
- bilangan rangkap, baris, jumlah kata, suku kata dan skema rima akhirnya tiada ikatan
tertentu.
- terdapat gabungan genre lain seperti peribahasa berirama, pantun, gurindam, talibun dan prosa berirama.
- bentuk puisi bebas, iaitu mempunyai dua, tiga, empat atau puluhan baris kata.
TEROMBA ADAT TONGGAK NILAI
Tatkala
Kampung sudah bersudut,
Sawah sudah berjenjang,
Pucuk sudah meliuk,
Pinang sudah berjejer,
Adat dengan pusaka diadakan, iaitu :
Alam beraja,
Luak berpenghulu,
Suku bertua,
Anak buah beribu buapak,
Orang semenda bertempat bersemenda,
Kunci anak buah ibu buapak,
Kunci luak penghulu,
Kunci alam raja.
Adat nang berjenjang naik,
Bertangga turun :
Berlukis, berlembaga,
Berturas, bertauladan.
Pulai nang berpangkat naik,
Manusia berpangkat turun.
Kambing biasa membebek,
Kerbau biasa menguak,
Ayam biasa berkokok,
Murai biasa berkicau,
Penghulu biasa menghukum adat,
Alim biasa menghukum syarak,
Hulubalang biasa menjarah,
Juara biasa melepas,
Saudagar biasa bermain bungkal teraju,
Perempuan biasa berusahakan benang dan kapas.
Raja sekeadilan,
Penghulu seundang,
Tua selembaga,
Waris sepusaka,
Ibu buapak seadat,
Tempat semenda satu syahadat,
Orang semenda seresam,
Raja berdaulat
Penghulu berandeka,
Raja bertitah,
Penghulu bersabda,
Raja berkhalifah,
Penghulu bersuku,
Undang berkelantasan,
Lembaga bersekat,
Raja bersejarah,
Penghulu bersalasilah,
Lembaga berteromba,
Raja berdaulat dalam alamnya,
Penghulu bernobat dalam sukunya,
Buapak bernobat dalam anak buahnya,
Orang banyak bernobat dalam terataknya.
Salah hamba kepada tuan,
Salah murid kepada guru,
Salah anak kepada bapa,
Salah bini kepada laki,
Titah dijunjung sepenuh-penuh kepala,
Sabda dibentuk seuntuk-untuk bahu.
Kelebihan umat dengan muafakat,
Kelebihan Nabi dengan mukjizat,
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat,
Tatkala kecil bernama muafakat,
Tatkala besar bernama adat,
Si raja adat kepada muafakat,
Air melurut dengan bundarnya,
Benar melurut kerana pakatnya,
Negeri tumbuh dengan adatnya,
Muafakat lalu di dalam gelap,
Adat lalu di tengah terang,
Hilang adat kerana muafakat,
Hidup dikandung adat,
Mati dikandung bumi,
Bujur lalu melintang patah,
Makanan adat dengan pusaka.
Kata orang kata bercalun, (kata berbalok),
Kata pegawai kata berhubung,
Kata hulubalang kata tunggal,
Kata undang kata perhiasan,
Kata raja kata berliput,
Kata mualim kata hakikat,
Kata adat kata nan benar.
Berdiri meninjau jarah,
Duduk meraut ranjau,
Menyerudup galas lalu,
Menyelam minum air,
Lain biduk lain galang,
Kaki terdorong, badan binasa,
Cepat tangan, dapat hutang,
Mulut terkata-kata, emas akan padahnya,
Terpijak benang arang, hitam tapak kaki.
Maksud / Tema
Rangkap 1
Teromba ini berkisar tentang peranan adat sebagai tonggak kepada nilai masyarakat. Penekanan diberikan terhadap kesedaran setiap unit masyarakat sebagai sebahagian daripada kelompoknya yang terikat dalam sebuah kesatuan. Teromba bertindak sebagai satu konsep dan kepercayaan serta agen untuk melahirkan masyarakat yang aman dan harmonis. Suasana ini muncul sebagai hasil daripada adat itu sendiri dan kesesuaiannya dengan kehendak dan keperluan hidup manusia dalam berbuaday dan bermasyarakat.
Rangkap 2
Teromba ini turut menyebut tentang kehidupan masyarakat yang beradat yang sedia memiliki struktur kepimpinan, iaitu raja, penghulu, lembaga, dan buapak. Sebelum wujud struktur kepimpinan itu, kampung dan negeri telah dibuka. Semasa membuka penempatan tersebut, pemimpin memerintah secara bergilir-gilir dan telah dipersetujui oleh orang ramai. Adat dan perundangan ini telah diperkenalkan supaya mereka dapat hidup aman dan damai.
Rangkap 3
Setiap pemimpin mempunyai bidang tugas masing-masing dan tidak boleh merentas bidang tugas orang lain. Semua kerja pentadbiran dijalankan secara muafakat. Apabila mereka tahu akan peranan yang patut dilakukan, barulah pentadbiran dapat dijalankan secara aman. Setiap pemimpin saling menghormati antara satu sama lain.
Rangkap 4
Dalam kehidupan bermasyarakat, sistemperaturan telah dibuat dengan sebaik mungkin. Setiap arahan pemimpin hendaklah dilakukan dengan baik, tiada yang cuba melawan dan tidak menghormati pemimpin. Dalam soal kehidupan masyarakat beradat, muafakat menjadi tonggak yang paling utama. Muafakat menjadi nadi kelancaran sistem beradat. Tanpa muafakat, hidup beradat tidak mendatangkan manfaat.
Rangkap 5
Adat muncul kerana muafakat itu sendiri dan setiap orang harus faham bahawa adat yang dimaksudkan itu bukanlah setakat hukum nikah kahwin sahaja. Adat turut membawa maksud segala sistem kehidupan yang dilalui oleh masyarakat beradat dan harus ada peraturan yang baik dan teratur. Raja kepada adat adalah kebenaran. Apabila kebenaran telah ditemukan, ia tidak boleh diketepikan. Adat ini boleh diketepikan buat seketika jika ada muafakat. Namun begitu, setiap orang masih tertakluk pada adat walaupun mereka enggan mengikut adat. Setiap manusia bernyawa pasti ada adatnya yang tersendiri dan mereka hanya bebas daripada adat setelah nyawa bercerai daripada badan.
Rangkap 6
Masyarakat yang mengutamakan adat harus mengamalkan pusaka orang tua-tua yang dianggap baik. Antara pusaka tersebut termasuklah amalan bergotong-royong, bersopan santun, menghormati orang tua, menghormati pemimpin, bersatu padu dan berbudi bahasa. Dalam kehidupan masyarakat beradat, kita tidak harus mementingkan diri sendiri, sebaliknya kelompok masyarakat harus diberi keutamaan.
Rangkap 7
Peraturan yang tidak baik dan tidak beradab harus ditinggalkan. Jika terlanjur melakukan sebarang perbuatan buruk, kita terpaksa menanggung malunya dan malu itu tidak dapat ditebus dengan wang ringgit sahaja. Oleh itu, kepimpinan adatlah yang akan membantu masyarakat adat supaya menjadi orang yang beradat, bersopan dan berguna. Setiap orang perlu sedar akan hakikat bahawa jika kaki sudah terdorong melakukan perkara yang kurang elok, merekalah yang akan menanggung akibatnya.
Teknik Penulisan / Bentuk
Pemilihan, pembentukan dan penyusunan kata dalam teromba ini kebanyakannya dibentuk melalui unsur alam. Hal ini dapat dilihat pada rangkap berikut :
Kampung sudah bersudut
Sawah sudah berjenjang (rangkap 1, baris 2-5)
Pucuk sudah meliuk
Pinang sudah berjejer
Kerbau biasa membebek
Kerbau biasa menguak (rangkap 2, baris 7-10)
Ayam biasa berkokok
Murai biasa berkicau
Pemilihan dan penggunaan unsur alam ini sesuai dengan tradisi teromba yang mengambil unsur-unsur alam sebagai teras atau asas falsafah dan pegangan adatnya. Pemerhatian yang cukup tajam oleh pengamal adat ini terhadap alam serta kemampuannya menterjemah unsur-unsur alamiah, menjadikan alam itu asas pegangan dan terus penjelmaan adatnya. Pemilihan dan pembentukan kata-katanya ternyata membawa konotasi adatnya yang tersendiri. Alam yang terkembang dijadikan guru.
Pemilihan kata atau ungkapan serta rangkai kata yang ada dalam teromba tersebut banyak membawa konotasi adat. Adat ini merupakan peraturan dan petunjuk yang digunakan sebagai pedoman serta amalan dalam seluruh aspek kehidupan bermasyarakat dan berbudaya dalam konteks masyarakat yang mengamalkannya. Hal ini dapat dilihat pada ungkapan-ungkapan atau rangkai kata seperti :
Hidup dikandung adat
Mati dikandung bumi (rangkap 5, baris 17)
Bujur lalu melintang patah
Makanan adat dengan pesaka
Pemilihan, pembentukan, penyusunan kata ini juga secara tidak langsung telah mewujudkan penggunaan gaya bahasa perulangan/repetisi. Pelbagai unsur gaya bahasa perulangan terdapat dalam teromba ini. Perulangan yang paling banyak ialah responsi (perulangan di tengah baris) yang digunakan sejak awal rangkap lagi. Misalnya, penggunaan kata “sudah” (baris 2-5), “biasa” (baris 7-16), “semenda” (baris 6-7) dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga perulangan anafora dan epifora.
Nilai
Teromba ini mempunyai nilai yang tinggi kepada masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih. Mereka diajar tentang pentingnya muafakat dan kerjasama dalam kehidupan bermasyarakat serta diajar supaya berani berkata benar. Seterusnya, mereka dinasihati supaya menghormati pemimpin, bermula daripada pemimpin di peringkat rendah sehingga peringkat tinggi.dalam aspek muafakat yang menjadi aspek penting dalam sesebuah masyarakat, setiap ahli masyarakat disarankan supaya meletakkan kepentingan orang kebanyakan melebihi kepentingan individu sendiri.
0 comments:
Post a Comment