KATA TUGAS
Kata tugas dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian, iaitu berdasarkan :
- pengertian
- ciri-ciri
- penggolongan
a) Pengertian kata tugas
- Kata yang hadir dalam frasa, klausa atau ayat untuk mendukung sesuatu tugas sintaksis.
b) Ciri-ciri kata tugas
- Tidak mempunyai makna leksikal atau makna kamus.Maknanya adalah tersendiri. Contohnya kata dan, amat dan ke hanya akan diketahui apabila dikaitkan dengan kata lain dalam frasa atau ayat.
- Tidak dapat berfungsi sebagai unsur inti dalam frasa predikat. Contohnya,“Ali ke’’, “Ali dan”,‘’Ali sangat’’.
- Hampir semua kata tugas tidak dapat mengalami perubahan dalam proses morfologi,tetapi bagi kata utama (kata nama (KN),kata kerja (KK),kata adjektif (KA)) boleh. Contohnya :
a)datang (KK)=kedatangan,mendatangi,mendatangkan.
b)dan (kata tugas)=tidak dapat diubah kepada bentuk lain seperti mendan,kedan.
- Kelas kata yang tertutup. Kata KK,KN,KA mudah menerima kata asing sebagai kata baharu. Contohnya komputer,definisi,takrifan,klasifikasi.Sebaliknya kata tugas tidak mudah menerima pengaruh bahasa asing.
- Memerlukan kata lain untuk berfungsi dalam frasa atau ayat.Contohnya :
a)dari perlu diikuti oleh kata nama selepasnya seperti dari kedai
b)tidak perlu diikuti oleh kata adjektif atau kata nama selepasnya seperti tidak gemuk.
c) Penggolongan kata
KATA PENYAMBUNG AYAT | KATA PRAKLAUSA | KATA PRAFRASA | KATA PASCAKATA |
Kata hubung | a) kata seru b) kata Tanya c) kata perintah d) kata pembenar e) kata pangkal ayat | a) kata bantu b) kata penguat c) kata penegas d) kata nafi e) kata pemeri f) kata sendi nama g) kata arah h) kata bilangan | a) kata penekan b) kata pembenda |
KATA PENYAMBUNG AYAT
Kata hubung merupakan sejenis kata tugas yang dikelompokkan ke dalam kata penyambung ayat. Kata penyambung ayat atau kata hubung ialah kata yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis yang dikenal sebagai ayat majmuk. Perhatikan contoh berikut:
a) Ayah dan ibu pergi ke pasar.
b) Kakak membasuh baju sambil menyanyi.
Terdapat dua bentuk kata hubung, iaitu kata hubung gabungan dan pancangan.
i) kata hubung gabungan
Kata hubung gabungan ialah jenis kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Ayat yang terbentuk yang menggunakan kata hubung gabungan ini disebut ayat majmuk gabungan. Contohnya seperti di bawah:
dan, atau, tetapi, serta, lalu, malahan, sambil, kemudian
Contoh ayat seperti berikut:
a) Adik suka makan sambil menonton televisyen.
b) Wanita itu memeluk anaknya sambil membelai rambutnya.
ii) kata hubung pancangan
Kata hubung pancangan ialah kata hubung yang menyambung klausa tak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
a) Kata hubung pancangan relatif
Perkataan yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain. Bentuk kata hubung ini ialah yang. Perhatikan contoh ayat di bawah:
1. Perempuan yang sedang membaca buku itu kawan saya.
2. Puan Ramlah seorang guru yang berdedikasi.
3. Yang indah itu bahasa.
b) Kata hubung pancangan komplemen.
Kata hubung pancangan komplemen berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada klausa utama. Bentuk kata hubung pancangan komplemen ialah bahawa dan untuk. Perhatikan contoh di bawah:
1. Guru itu menyatakan bahawa pelajarnya rajin.
2. Untuk memaksa dia hadir adalah tidak wajar.
3. Kami tidak sedar bahawa mereka mereka bukan ahli persatuan ini.
c) Kata hubung pancangan keterangan
Kata hubung pancangan keterangan berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Terdapat banyak kata hubung pancangan keterangan. Antaranya seperti agar, sekiranya, walaupun, hingga, meskipun, semoga, sungguhpun, kalau, supaya, ketika, semasa, tatkala, apabila, setelah, kerana, sementara. Perhatikan contoh ayat berikut:
1. Kebersihan alam sekitar perlu dipelihara agar rakyat hidup sihat.
2. Ali tidak hadir ke sekolah kerana demam.
3. Walaupun baju itu mahal, wanita itu tetap mahu membelinya.
KATA PRAKLAUSA
Kata praklausa merupakan kata yang terletak di depan ayat atau klausa. Tugas kata praklausa adalah untuk menimbulkan seruan, pertanyaan, perintah, pengiyaan atau sebagai penerang pangkal kepada klausa. Jenis kata praklausa terdiri daripada kata seru, kata tanya, kata perintah, kata pembenar dan kata pangkal ayat.
a) Kata seru
Menurut tatabahasa dewan (1993:243), kata seru berfungsi melahirkan pelbagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan. Contohnya seperti eh, cis, wah, aduh, nah, dan sebagainya. Perhatikan contoh ayat berikut:
1. Aduh, sakitnya!
2. Amboi, cantiknya tudung awak!
3. Cis, betul-betul memalukan!
b) Kata tanya
Kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk meminta maklumat atau untuk mendapatkan jawapan. Kata tanya hadir dalam predikat sebagai sebahagian daripada predikat. Sekiranya kata tanya berada di depan, maka kehadirannya dalam bentuk tulisan perlulah disertai partikel –kah. Perhatikan contoh ayat berikut:
1. Harga barang itu berapa?
2. Bilakah mereka akan sampai?
3. Mengapakah kanak-kanak itu menangis?
4. Kesihatannya sekarang bagaimana?
c) Kata perintah
Kata perintah berfungsi menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan. Contoh kata perintah ialah jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong dan sebagainya. Perhatikan contoh ayat di bawah:
1. Jangan buang sampah di merata-rata tempat.
2. Tolong ambilkan buku itu.
3. Usah biarkan dia berseorangan.
4. Silalah tuan-tuan masuk.
d) Kata pembenar
Kata pembenar ialah perkataan yang mengesahkan sesuatu pernyataan. Contoh kata pembenar ialah ya, benar dan betul. Perhatikan contoh ayat berikut:
1. Ya, itulah orangnya.
2. Benar, dialah yang berkata demikian.
3. Betul, tanyalah dia.
e) Kata pangkal ayat
Kata pangkal ayat merupakan perkataan yang hadir di bahagian awal ayat yang menjadi penanda kesinambungan ayat-ayat dalam wacana atau karangan. Kebiasannya, kata pangkal ayat terdapat dalam bahasa klasik. Contohnya seperti hatta, kalakian, syahdan, arakian dan sebagainya. Perhatikan contoh di bawah:
1. Hatta istana itu pun siaplah.
2. Arakian, baginda pun berangkatlah ke peraduan.
3. Maka hari pun malam.
KATA PRAFRASA
Kata prafrasa merupakan kata yang terletak di depan frasa nama, frasa kerja atau frasa adjektif. Kata prafrasa terdiri daripada kata bantu, kata penguat, kata penegas, kata nafi, kata pemeri, kata sendi nama, kata arah dan kata bilangan.
a) Kata bantu
Perkataan yang memberi keterangan tentang sesuatu perbuatan atau kata kerja. Kata bantu juga terdiri daripada dua jenis iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam.
i) kata bantu aspek – menimbulkan suasana perbezaan masa iaitu sama ada masa lampau, masa kini, atau masa hadapan. Antara bentuk kata bantu seperti telah, sudah, baru, pernah, sedang, masih, akan, mula dan belum. Contoh ayat seperti berikut:
- Kami akan ke sana esok.
- Ibu masih berada dalam keadaan yang lemah.
- Buku-buku tersebut belum diterima lagi.
ii) kata bantu ragam – menerangkan ragam perasaan yang mempunyai kaitan dengan perbuatan yang dilakukan. Betuk kata bantu ragam seperti hendak, mahu, mesti, harus, boleh, dapat, enggan, patut dan mungkin. Contoh ayat seperti berikut:
- Pelajar-pelajar itu hendak pergi ke kantin.
- Awak harus cepat mengambil tindakan sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.
- Abang enggan menerima penjelasan tersebut.
b) Kata penguat
Perkataan yang mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam frasa atau kata adjektif. Ada tiga jenis kata penguat:
i) Kata penguat hadapan (hanya berada di belakang kata adjektif). Kata penguat hadapan seperti terlalu, paling, agak, cukup, makin dan kurang.
ii) Kata penguat belakang (hanya berada di belakang kata adjektif). Contoh kata penguat belakang seperti sekali, benar, nian, dan betul.
iii) Kata penguat bebas (boleh berada di hadapan atau di belakang kata adjektif). Contoh kata penguat bebas seperti amat, sangat dan sungguh.
*kata penguat tidak boleh diletakkan di depan dan di belakang serentak. Contohnya:
Paling tinggi bukan paling tinggi sekali
Sungguh kuat bukan sungguh kuat betul
c) Kata Penegas
c) Kata Penegas
Kata penegas turut dikenali sebagai partikel. Fungsi kata penegas adalah untuk memberi penekanan kepada sesuatu ayat. Terdapat dua jenis kata penegas iaitu menegaskan maksud perkataan yang bercantum dengannya seperti kata penegas –lah, -tah, -kah. Manakala kata penegas yang kedua ialah katab penegas yang menegaskan subjek atau predikat ayat seperti memang, juga, ada, pun, lagi dan sahaja.
d) Kata nafi
Menurut Asmah Haji Omar (1982:141), kata nafi ialah kata yang menidakkan sesuatu. Contoh kata nafi yang dimaksudkan ialah bukan dan tidak.
Kata nafi bukan menjadi unsur nafi bagi frasa nama dan frasa sendi nama. Contohnya:
1. Lauk-pauk itu bukan untuk Vijaya.
2. Projek itu bukan usaha saya.
3. Kereta api itu bukan dari Ipoh.
Kata nafi tidak pula menjadi unsur bagi frasa kerja dan frasa adjektif. Contohnya:
1. Pak Abu tidak ke kedai kopi hari ini.
2. Baju itu tidak terlalu besar.
3. Kami tidak akan datang lagi.
e) Kata pemeri
Unsur yang menjadi pemeri hal atau penghubung antara subjek dengan frasa –frasa utama dalam predikat (Tatabahasa Dewan, 1993:472). Terdapat tiga jenis kata pemeri iaitu ialah, adalah dan merupakan.
Kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam contoh berikut:
1. Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara.
2. Dalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan.
Kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama, seperti yang terdapat dalam contoh seperti berikut:
1. Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.
2. Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan manusia.
0 comments:
Post a Comment