BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, 16 March 2011

KATA KERJA

Kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja. Frasa kerja terdiri daripada kata kerja yang boleh disertai beberapa unsur lain seperti   kata bantu, objek pelengkap, ayat komplemen, dan keterangan. Beberapa contoh ayat yang mengandungi predikat frasa kerja adalah seperti yang berikut:
            1. Ali tidur.
            2. Mereka sedang membaca buku.
            3. Adik Fatimah bermain di padang.
            4. Pemandu itu membelok ke kanan.
            5. Peristiwa itu disaksikan oleh dua ratus orang.
Dalam kelima-lima ayat di atas, kata kerja masing-masing ialah tidur dalam ayat (1), membaca dalam ayat (2), bermain dalam ayat (3), membelok dalam ayat (4), dan disaksikan dalam ayat (5).

Penggolongan Kata Kerja

Kata kerja sebagai golongan kata boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu:
            (i)  Kata kerja aktif.
           (ii)  Kata kerja pasif.

Kata Kerja Aktif

- Kata kerja aktif ialah kata kerja yang hadir dalam ayat aktif, iaitu ayat yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau yang diterangkan.
- Kata kerja aktif pula terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
              (i)  Kata kerja aktif tak transitif.
            (ii)  Kata kerja aktif transitif.

Kata Kerja Aktif Tak Transitif

Kata kerja aktif tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut, atau objek sesudahnya. Kata kerja aktif tak transitif dapat dibahagikan kepada dua subgolongan, iaitu:
   (i)  Kata kerja aktif tak transitif tanpa pelengkap
   (ii)  Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap

-Kata kerja aktif tak transitif tanpa pelengkap

Kata kerja aktif tak transitif tanpa pelengkap ialah kata kerja yang boleh berdiri tanpa objek atau penyambut seperti yang terdapat dalam contoh berikut:
           
6.  Semua orang pulang.
            7.  Adik saya masih tidur.
            8.  Padi sedang menguning.
            9.  Pemuda itu tersenyum.
            10. Mereka asyik berbual.

Kesemua ayat di atas terdiri daripada subjek dan kata kerja yang berdiri sendiri, iaitu tanpa pergantungan pada unsur lain untuk melengkapkan makna atau maksud ayat.
Kata kerja aktif tak transitif ini boleh diikuti oleh unsur keterangan, yang berfungsi memberikan maklumat tambahan. Ayat (6)-(10), misalnya, boleh ditambah unsur keterangan seperti yang berikut:

             6 (a).  Semua orang pulang pada waktu petang.
             7 (a).  Adik saya masih tidur di serambi.
             8 (a).  Padi sedang menguning di sawah.
             9 (a).  Pemuda itu tersenyum seorang diri.
            10(a).  Mereka asyik berbual di kedai kopi itu.

-Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap

Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap ialah kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut, kerana objek atau penyambut hanya hadir selepas kata kerja transitif dan boleh pula mengalami proses pasif. Pelengkap ialah unsur yang hadir selepas kata kerja tak transitif untuk menyempurnakan maksud ayat. Ayat dengan kata kerja aktif tak transitif yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan. Contoh kata kerja aktif tak transitif berpelengkap adalah seperti yang berikut:
           
11.  Keadaan bapanya beransur baik.
            12.  Mereka tidak berbuat jahat.
            13.  Mereka tinggal di Kampung Paya.
            14.  Pengembara itu berselimutkan embun.
            15.  Dia menjadi guru.

Dalam ayat-ayat di atas, perkataan yang condong itu ialah kata kerja tak transitif, sementara unsur yang mengikutinya ialah pelengkap. Sekiranya pelengkap digugurkan, ayat-ayat yang terhasil tidak sempurna, contohnya:

            11 (a).   * Keadaan bapanya beransur.
            12 (a).   * Mereka tidak berbuat.
            13 (a).   * Mereka tinggal.
            14 (a).   * Pengembara itu berselimutkan.
            15 (a).   * Dia menjadi.

Demikian juga, ayat-ayat (11)-(15) tidak boleh dipasifkan, seperti yang ternyata dalam contoh berikut:

            11 (b).   * Baik diansurkan oleh keadaan bapanya.
            12 (b).   * Jahat tidak dibuat oleh mereka.
            13 (b).   * Di Kampung Paya ditinggal oleh mereka.
            14 (b).   * Embun diselimutkan oleh pengembara itu.
            15 (b).   * Guru dijadikan oleh dia.

Unsur-unsur yang menjadi pelengkap ini boleh terdiri daripada beberapa jenis, iaitu kata adjektif, frasa sendi nama dan kata nama.

(i)        Kata adjektif sebagai pelengkap

Kata kerja aktif tak transitif boleh diikuti oleh kata adjektif seperti baik, lemah, miskin, kukuh, dan sebagainya sebagai pelengkap. Dalam konteks ini, kata adjektif berfungsi sebagai kata adverba. Contohnya :

            16. Lukanya beransur baik.
            17. Badannya menjadi lemah.
            18. Orang kampung itu tinggal miskin.
            19. Azam kumpulan itu bertambah kukuh.
            20. Suasana dalam mesyuarat itu menjadi tegang.

(ii)       Frasa sendi nama sebagai pelengkap

Kata kerja adjektif tak transitif boleh diikuti oleh frasa sendi nama yang membawa pengertian tempat yang berfungsi pengertian tempat yang berfungsi sebagai pelengkap, contohnya:

            21. Keluarga Encik Ali berasal dari Pahang.
            22. Kami tinggal di Pangsapuri Seri Bayu.
            23. Mereka menetap di kampung ini.
            24. Kereta itu membelok ke kiri.
            25. Kapal kargo itu singgah di pelabuhan Pulau Pinang.

(iii)      Kata nama sebagai pelengkap

Kata nama boleh menjadi pelengkap pada kata kerja aktif tak transitif yang menerima imbuhan ber-…-kan dan kata kerja menjadi dan ada. Contohnya :

            26. Kami tidur berbantalkan lengan.
            27. Pengemis itu baring bertilamkan rumput.
            28. Pokok padi Wan Empuk berbatangkan emas.
            29. Pengembara itu sungguh nyenyak berselimutkan embun.
            30. Ali menjadi guru sandaran.
            31. Abangnya menjadi penulis yang terkenal.
            32. Pak samad ada sawah di kampung.
            33. Mereka ada hadiah yang istimewa.


Kata kerja aktif transitif

Kata kerja aktif transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Contoh kata kerja aktif transitif dalam ayat:

            34. Murid-murid sedang membersihkan kawasan sekolah.
            35. Saya telah menjawab surat itu.
            36. Pegawai itu tidak mengabaikan tugasnya.
            37. Kami membaiki kereta kesayangan ayah.
            38. Di memasukkan surat itu ke dalam sampul berdaftar.

Dalam contoh-contoh di atas, kata kerja membersihkan, menjawab, mengabaikan, membaiki, dan memasukkan ialah kata kerja transitif. 

Kata Kerja Pasif

Kata kerja pasif ialah keta kerja hasil daripada proses transformasi atau perubahan ayat aktif menjadi ayat pasif. Ayat (34)-(38), apabila dipasifkan, menjadi seperti ayat berikut:

            34 (a).  Kawasan sekolah sedang dibersihkan oleh murid-murid.
            35 (a).  Surat itu telah saya jawab.
            36 (a).  Tugasnya tidak diabaikan oleh pegawai itu.
            37 (a).  Kereta kesayangan ayah kami baiki.
            38 (a).  Surat itu dimasukkannya ke dalam sampul berdaftar.

Contoh kata kerja dibersihkan dalam ayat (34(a)),saya jawab dalam ayat (35(a)), diabaikan dalam ayat (36(a)), kami baiki dalam ayat (37(a)) dan dimasukkan dalam ayat (38(a)) ialah bentuk kata kerja pasif. Bentuk ini diperoleh dengan menukarkan ayat berbentuk aktif menjadi ayat berbentuk pasif. Bahkan, salah satu ukuran yang dapat digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu kata kerja itu transitif atau tidak adalah dengan melihat sama ada kata kerja itu dapat mengalami proses pasif atau tidak.

Contoh kata kerja transitif aktif dan kata kerja transitif pasif adalah seperti di bawah. Selain imbuhan meN-…(kan/i) yang wujud dalam kata kerja transitif aktif, awalan ter- juga boleh hadir dalam kata kerja demikian, misalnya terlanggar, terminum, terpijak, dan tertelan. Contoh dalam ayat:

            39.  Bas persiaran itu terlanggar tembok rumah Ali.


Kata Kerja Transitif
(ayat aktif)
Kata Kerja Transitif
(ayat pasif)
mengaturkan
membelah
mencampakkan
mendenda
mengekori
menggaulkan
mengharungi
menjahit
diaturkan
dibelah
dicampakkan
didenda
saya ekori
kami gaulkan
anda harungi
kujahit


            40.  Pekerja itu terminum racun serangga.
            41.  Saya terpijak tangannya.
            42.  Dia tertelan biji nangka.

Kata kerja pasif juga boleh mengandungi awalan ter-, misalnya: terkarang, termaktub, terbina, dan ternampak. Contoh dalam ayat:

            43.  Buku itu terkarang oleh Za’ba.
            44.  Perkara itu sudah termaktub dalam perlembagaan.
            45.  Istana Raja Melaka terbina dalam masa dua bulan.
            46.  Asap kapal itu tidak ternampak lagi oleh mereka.

0 comments: