Friday, 25 March 2011
Posted by semarakbahasamelayu at 15:35 0 comments
Labels: Uji Minda
Thursday, 24 March 2011
Aktiviti
- Tukar dialog cakap ajuk kepada cakap pindah
- Membaiki ayat
- Betulkan dialog dengan menggunakan bahasa baku.
- Nyatakan nilai murni berdasarkan gambar
Aktiviti
1. Lakonkan semula dengan menggunakan dialog di atas.
2. Tukarkan dialog cakap ajuk kepada cakap pindah.
3. Kenal pasti jenis bahasa.
4. Mengajar imbuhan dan jenis ayat.
Aktiviti
1. Kenal pasti laras bahasa.
2. Melukis kartun dan membina dialog sendiri.
3. Melakonkan semula dengan menggunakan dialog sendiri.
4. Menukarkan dialog cakap ajuk kepada cakap pindah.
1. Kenal pasti laras bahasa.
2. Melukis kartun dan membina dialog sendiri.
3. Melakonkan semula dengan menggunakan dialog sendiri.
4. Menukarkan dialog cakap ajuk kepada cakap pindah.
Aktiviti
- Kenal pasti nilai murni.
- Membina karangan berdasarkan gambar.
- Melakonkan semula dengan menghasilkan dialog lain.
- Mengajar imbuhan.
Aktiviti
1. Membina karangan bertajuk " Amalan pemakanan yang seimbang".
2. Melakonkan semula dengan menghasilkan dialog sendiri berdasarkan tema yang berlainan.
3. Menukarkan dialog cakap ajuk kepada cakap pindah.
4. Membina ragam ayat berdasarkan dialog di atas.
Posted by semarakbahasamelayu at 15:31 0 comments
Labels: Kesantunan Bahasa
Aktiviti
- Tukarkan dialog di atas daripada cakap ajuk kepada cakap pindah.
- Membaiki ayat
- Betulkan dialog dengan menggunakan bahasa baku.
- Nyatakan nilai murni berdasarkan gambar
Aktiviti
1. Lakonkan semula dengan menggunakan dialog di atas.
2. Tukarkan dialog cakap ajuk kepada cakap pindah.
3. Kenal pasti jenis bahasa.
4. Mengajar imbuhan dan jenis ayat.
Aktiviti
Kenal pasti laras bahasa
2. Melukis kartun dan membina dialog sendiri
3. Lakonkan semula dengan menggunakan dialog sendiri
4. Tukarkan dialog cakap ajuk kepada cakap pindah
Posted by semarakbahasamelayu at 15:16 0 comments
Friday, 18 March 2011
GURINDAM
Pentakrifan Gurindam yang berasal daripada kata dalam bahasa Tamil, iaitu “Kirandam”, dalam perkembangan sejarah kesusasteraan Melayu tradisional, memang sedia dikenali sejak zaman Hindu lagi. Dalam konteks kesusasteraan Melayu, kata “gurindam” itu pada awalnya bererti “asal” atau “perumpamaan”. Menurut Pendeta Za’ba pula, gurindam merupakan sejenis syair melarat yang tidak teratur, berangkap-rangkap dan tidak tetap sukatannya, timbangannya dan sajaknya. Menurut beliau lagi, bahasa dalam gurindam adalah padat dan bernas manakala isinya lebih cenderung kepada suasana riang yang dianggap sebagai nyanyian jenaka, sindiran, giat yang bermain-main dan menggelikan hati.
Gurindam merupakan puisi yang terdiri daripada dua baris yang mempunyai rima akhir a. Dari segi bentuknya pula dikatakan tidak tetap sama ada terikat ataupun tidak. Gurindam terdiri daripada dua baris serangkap serta mengandungi tiga hingga enam patah kata dalam sebaris. Selain itu, setiap baris dalam rangkap merupakan isi atau maksud dan perlu bersambung dengan baris-baris dengan baris-baris dalam rangkap yang berikutnya untuk membawa makna yang lengkap. Baris pertama dikenali sebagai “syarat” dan baris kedua dikelani sebagai “jawab”. Baris pertama iaitu yang dikenali sebagai “syarat” menyatakan sesuatu fikiran atau peristiwa dan baris kedua pula menyatakan keterangan atau menjelaskan perkara yang dinyatakan dalam baris pertama tadi.
Gurindam pada umumnya berperanan untuk mendidik dan menghiburkan khalayak pembaca dan pendengar. Selain itu, gurindam dapat dijadikan dokumentasi gambaran masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti dan estetika serta daya intelek masyarakat Melayu silam dalam mendepani kehidupan mereka. Gurindam juga dapat dijadikan bahan untuk berkomunikasi dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam majlis-majlis rasmi.
Ini Gurindam Fasal yang Keenam
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan abdi,
Yang ada baik sedikit budi.
Maksud gurindam
Gurindam Fasal yang Keenam tersebut membicarakan sifat-sifat yang perlu ada pada diri seseorang yang hendak didampingi. Dalam mencari sahabat, pengarang menyarankan masyarakat supaya mencari orang yang dapat menjadi penawar diri. Hal ini bermaksud sahabat itu mestilah yang sedia bergembira ketika kita senang dan sedia bersedih ketika kita sedang berduka. Dalam mencari guru pula, masyarakat disarankan mencari tokoh yang tahu membezakan antara yang baik dan yang buruk. Dengan kata lain, guru itu mestilah dapat membimbing kita ke arah kebaikan.
Seterusnya, kita juga disarankan supaya mengahwini wanita yang sedia menyerahkan dirinya hanya untuk kita. Dalam hal ini, pengarang bermaksud isteri itu mestilah patuh pada suami pada setiap ketika. Kemudian, pengarang menyentuh sekali lagi soal mencari kawan yang menurutnya mestilah memiliki semangat setiakawan yang tinggi, bukan daripada kalangan yang akan mengkhianatinya. Akhir sekali, dalam mencari hamba sahaya, pengarang menasihati masyarakat agar mendapatkan hamba yang berbudi pekerti mulia.
Tema dan persoalan
Tema yang diketengahkan daripada gurindam tersebut adalah tentang sifat-sifat khusus yang perlu ada pada diri orang yang didampingi. Sehubungan itu, para khalayak perlu peka terhadap sifat yang ada pada seseorang yang bakal atau dan telah didampingi. Sahabat yang terbaik adalah sahabat yang memahami perasaan kita; guru yang baik ialah guru yang membimbing kita ke arah kebaikan; isteri yang baik ialah isteri yang taat akan suaminya; kawan yang baik ialah kawan yang setia dan jujur; orang suruhan yang terbaik pula ialah orang yang berbudi bahasa.
Bentuk
Gurindam tersebut terdiri daripada lima rangkap dan setiap rangkap terbina daripada dua baris. Pola rima akhir setiap rangkap seragam, iaitu a-a. Jumlah kata sebaris adalah antara empat hingga lima patah kata manakala suku katanya adalah antara sembilan hingga sebelas suku kata. Merujuk kepada teknik penulisannya yang mematuhi ciri-ciri puisi tradisional, maka dapatlah disimpulkan bahawa puisi ini berbentuk terikat.
Baris pertama gurindam merupakan syarat, manakala baris yang kedua pula ialah jawab. Hal ini berbeza daripada pantun dua baris yang baris pertamanya berperanan sebagai pembayang maksud manakala baris keduanya berperanan sebagai maksud. Baris pertama gurindam itu menyatakan sesuatu fikiran atau peristiwa manakala baris kedua menjelaskan apa-apa yang telah dinyatakan oleh baris pertama.
Gaya bahasa
Berdasarkan pantun tersebut, dapat dilihat gubahan bahasanya yang begitu tepat, padat dan bernas dalam usaha hendak menyatakan sesuatu dengan terus terang. Melalui gaya bahasanya juga dapat dilihat dan fahami sikap, perasaan, nilai dan pelbagai aspek yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu lama.
Melalui gurindam itu, Raja Ali Haji telah dapat melukiskan sesuatu yang mudah difahami maksudnya. Hal ini demikian kerana beliau hanya melukiskan hal-hal yang berhubungan secara langsung dengan soal kehidupan manusia dengan agamanya yang saling berhubungan bagi menentukan perjalanan hidup yang sempurna. Baris-baris perkataan yang digunakan tidak mempunyai ciri ambiguiti yang dapat memesongkan tanggapan pembacanya.
Pengajaran
Secara keseluruhannya, gurindam yang bersifat didaktik ini mengingatkan kita supaya berhati-hati apabila mendampingi seseorang. Jika dilihat secara khusus, gurindam ini mengingatkan kita supaya saling memahami antara satu sama lain, khususnya dalam persahabatan kerana sifat yang sedemikian dapat menjadi penawar kepada seseorang sekali gus dapat merapatkan hubungan persahabatan. Selain itu, kita juga disarankan supaya rajin menuntut ilmu tetapi dalam menuntut ilmu, kita mestilah mencari guru yang dapat mengajar kita ke arah kebaikan.
Kita juga hendaklah melaksanakan sunnah Nabi Muhammad S.A.W, iaitu beristeri apabila berkemampuan kerana beristeri dapat menghindarkan seseorang daripada melakukan zina. Sebagai isteri, setiap wanita itu mestilah patuh dan taat akan suaminya. Seterusnya, kita mestilah jujur dan memiliki nilai setiakawan yang tinggi dalam persahabatan. Dalam konteks ini, kita ditegah mengkhianati persahabatan kerana perbuatan yang sedemikian akan menyebabkan sahabat itu teraniaya.
Posted by semarakbahasamelayu at 11:43 0 comments
Labels: Kemahiran Menulis
Thursday, 17 March 2011
KATA TUGAS
Kata tugas dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian, iaitu berdasarkan :
- pengertian
- ciri-ciri
- penggolongan
a) Pengertian kata tugas
- Kata yang hadir dalam frasa, klausa atau ayat untuk mendukung sesuatu tugas sintaksis.
b) Ciri-ciri kata tugas
- Tidak mempunyai makna leksikal atau makna kamus.Maknanya adalah tersendiri. Contohnya kata dan, amat dan ke hanya akan diketahui apabila dikaitkan dengan kata lain dalam frasa atau ayat.
- Tidak dapat berfungsi sebagai unsur inti dalam frasa predikat. Contohnya,“Ali ke’’, “Ali dan”,‘’Ali sangat’’.
- Hampir semua kata tugas tidak dapat mengalami perubahan dalam proses morfologi,tetapi bagi kata utama (kata nama (KN),kata kerja (KK),kata adjektif (KA)) boleh. Contohnya :
a)datang (KK)=kedatangan,mendatangi,mendatangkan.
b)dan (kata tugas)=tidak dapat diubah kepada bentuk lain seperti mendan,kedan.
- Kelas kata yang tertutup. Kata KK,KN,KA mudah menerima kata asing sebagai kata baharu. Contohnya komputer,definisi,takrifan,klasifikasi.Sebaliknya kata tugas tidak mudah menerima pengaruh bahasa asing.
- Memerlukan kata lain untuk berfungsi dalam frasa atau ayat.Contohnya :
a)dari perlu diikuti oleh kata nama selepasnya seperti dari kedai
b)tidak perlu diikuti oleh kata adjektif atau kata nama selepasnya seperti tidak gemuk.
c) Penggolongan kata
KATA PENYAMBUNG AYAT | KATA PRAKLAUSA | KATA PRAFRASA | KATA PASCAKATA |
Kata hubung | a) kata seru b) kata Tanya c) kata perintah d) kata pembenar e) kata pangkal ayat | a) kata bantu b) kata penguat c) kata penegas d) kata nafi e) kata pemeri f) kata sendi nama g) kata arah h) kata bilangan | a) kata penekan b) kata pembenda |
KATA PENYAMBUNG AYAT
Kata hubung merupakan sejenis kata tugas yang dikelompokkan ke dalam kata penyambung ayat. Kata penyambung ayat atau kata hubung ialah kata yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis yang dikenal sebagai ayat majmuk. Perhatikan contoh berikut:
a) Ayah dan ibu pergi ke pasar.
b) Kakak membasuh baju sambil menyanyi.
Terdapat dua bentuk kata hubung, iaitu kata hubung gabungan dan pancangan.
i) kata hubung gabungan
Kata hubung gabungan ialah jenis kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Ayat yang terbentuk yang menggunakan kata hubung gabungan ini disebut ayat majmuk gabungan. Contohnya seperti di bawah:
dan, atau, tetapi, serta, lalu, malahan, sambil, kemudian
Contoh ayat seperti berikut:
a) Adik suka makan sambil menonton televisyen.
b) Wanita itu memeluk anaknya sambil membelai rambutnya.
ii) kata hubung pancangan
Kata hubung pancangan ialah kata hubung yang menyambung klausa tak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
a) Kata hubung pancangan relatif
Perkataan yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain. Bentuk kata hubung ini ialah yang. Perhatikan contoh ayat di bawah:
1. Perempuan yang sedang membaca buku itu kawan saya.
2. Puan Ramlah seorang guru yang berdedikasi.
3. Yang indah itu bahasa.
b) Kata hubung pancangan komplemen.
Kata hubung pancangan komplemen berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada klausa utama. Bentuk kata hubung pancangan komplemen ialah bahawa dan untuk. Perhatikan contoh di bawah:
1. Guru itu menyatakan bahawa pelajarnya rajin.
2. Untuk memaksa dia hadir adalah tidak wajar.
3. Kami tidak sedar bahawa mereka mereka bukan ahli persatuan ini.
c) Kata hubung pancangan keterangan
Kata hubung pancangan keterangan berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Terdapat banyak kata hubung pancangan keterangan. Antaranya seperti agar, sekiranya, walaupun, hingga, meskipun, semoga, sungguhpun, kalau, supaya, ketika, semasa, tatkala, apabila, setelah, kerana, sementara. Perhatikan contoh ayat berikut:
1. Kebersihan alam sekitar perlu dipelihara agar rakyat hidup sihat.
2. Ali tidak hadir ke sekolah kerana demam.
3. Walaupun baju itu mahal, wanita itu tetap mahu membelinya.
KATA PRAKLAUSA
Kata praklausa merupakan kata yang terletak di depan ayat atau klausa. Tugas kata praklausa adalah untuk menimbulkan seruan, pertanyaan, perintah, pengiyaan atau sebagai penerang pangkal kepada klausa. Jenis kata praklausa terdiri daripada kata seru, kata tanya, kata perintah, kata pembenar dan kata pangkal ayat.
a) Kata seru
Menurut tatabahasa dewan (1993:243), kata seru berfungsi melahirkan pelbagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan. Contohnya seperti eh, cis, wah, aduh, nah, dan sebagainya. Perhatikan contoh ayat berikut:
1. Aduh, sakitnya!
2. Amboi, cantiknya tudung awak!
3. Cis, betul-betul memalukan!
b) Kata tanya
Kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk meminta maklumat atau untuk mendapatkan jawapan. Kata tanya hadir dalam predikat sebagai sebahagian daripada predikat. Sekiranya kata tanya berada di depan, maka kehadirannya dalam bentuk tulisan perlulah disertai partikel –kah. Perhatikan contoh ayat berikut:
1. Harga barang itu berapa?
2. Bilakah mereka akan sampai?
3. Mengapakah kanak-kanak itu menangis?
4. Kesihatannya sekarang bagaimana?
c) Kata perintah
Kata perintah berfungsi menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan. Contoh kata perintah ialah jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong dan sebagainya. Perhatikan contoh ayat di bawah:
1. Jangan buang sampah di merata-rata tempat.
2. Tolong ambilkan buku itu.
3. Usah biarkan dia berseorangan.
4. Silalah tuan-tuan masuk.
d) Kata pembenar
Kata pembenar ialah perkataan yang mengesahkan sesuatu pernyataan. Contoh kata pembenar ialah ya, benar dan betul. Perhatikan contoh ayat berikut:
1. Ya, itulah orangnya.
2. Benar, dialah yang berkata demikian.
3. Betul, tanyalah dia.
e) Kata pangkal ayat
Kata pangkal ayat merupakan perkataan yang hadir di bahagian awal ayat yang menjadi penanda kesinambungan ayat-ayat dalam wacana atau karangan. Kebiasannya, kata pangkal ayat terdapat dalam bahasa klasik. Contohnya seperti hatta, kalakian, syahdan, arakian dan sebagainya. Perhatikan contoh di bawah:
1. Hatta istana itu pun siaplah.
2. Arakian, baginda pun berangkatlah ke peraduan.
3. Maka hari pun malam.
KATA PRAFRASA
Kata prafrasa merupakan kata yang terletak di depan frasa nama, frasa kerja atau frasa adjektif. Kata prafrasa terdiri daripada kata bantu, kata penguat, kata penegas, kata nafi, kata pemeri, kata sendi nama, kata arah dan kata bilangan.
a) Kata bantu
Perkataan yang memberi keterangan tentang sesuatu perbuatan atau kata kerja. Kata bantu juga terdiri daripada dua jenis iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam.
i) kata bantu aspek – menimbulkan suasana perbezaan masa iaitu sama ada masa lampau, masa kini, atau masa hadapan. Antara bentuk kata bantu seperti telah, sudah, baru, pernah, sedang, masih, akan, mula dan belum. Contoh ayat seperti berikut:
- Kami akan ke sana esok.
- Ibu masih berada dalam keadaan yang lemah.
- Buku-buku tersebut belum diterima lagi.
ii) kata bantu ragam – menerangkan ragam perasaan yang mempunyai kaitan dengan perbuatan yang dilakukan. Betuk kata bantu ragam seperti hendak, mahu, mesti, harus, boleh, dapat, enggan, patut dan mungkin. Contoh ayat seperti berikut:
- Pelajar-pelajar itu hendak pergi ke kantin.
- Awak harus cepat mengambil tindakan sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.
- Abang enggan menerima penjelasan tersebut.
b) Kata penguat
Perkataan yang mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam frasa atau kata adjektif. Ada tiga jenis kata penguat:
i) Kata penguat hadapan (hanya berada di belakang kata adjektif). Kata penguat hadapan seperti terlalu, paling, agak, cukup, makin dan kurang.
ii) Kata penguat belakang (hanya berada di belakang kata adjektif). Contoh kata penguat belakang seperti sekali, benar, nian, dan betul.
iii) Kata penguat bebas (boleh berada di hadapan atau di belakang kata adjektif). Contoh kata penguat bebas seperti amat, sangat dan sungguh.
*kata penguat tidak boleh diletakkan di depan dan di belakang serentak. Contohnya:
Paling tinggi bukan paling tinggi sekali
Sungguh kuat bukan sungguh kuat betul
c) Kata Penegas
c) Kata Penegas
Kata penegas turut dikenali sebagai partikel. Fungsi kata penegas adalah untuk memberi penekanan kepada sesuatu ayat. Terdapat dua jenis kata penegas iaitu menegaskan maksud perkataan yang bercantum dengannya seperti kata penegas –lah, -tah, -kah. Manakala kata penegas yang kedua ialah katab penegas yang menegaskan subjek atau predikat ayat seperti memang, juga, ada, pun, lagi dan sahaja.
d) Kata nafi
Menurut Asmah Haji Omar (1982:141), kata nafi ialah kata yang menidakkan sesuatu. Contoh kata nafi yang dimaksudkan ialah bukan dan tidak.
Kata nafi bukan menjadi unsur nafi bagi frasa nama dan frasa sendi nama. Contohnya:
1. Lauk-pauk itu bukan untuk Vijaya.
2. Projek itu bukan usaha saya.
3. Kereta api itu bukan dari Ipoh.
Kata nafi tidak pula menjadi unsur bagi frasa kerja dan frasa adjektif. Contohnya:
1. Pak Abu tidak ke kedai kopi hari ini.
2. Baju itu tidak terlalu besar.
3. Kami tidak akan datang lagi.
e) Kata pemeri
Unsur yang menjadi pemeri hal atau penghubung antara subjek dengan frasa –frasa utama dalam predikat (Tatabahasa Dewan, 1993:472). Terdapat tiga jenis kata pemeri iaitu ialah, adalah dan merupakan.
Kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam contoh berikut:
1. Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara.
2. Dalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan.
Kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama, seperti yang terdapat dalam contoh seperti berikut:
1. Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.
2. Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan manusia.
Posted by semarakbahasamelayu at 13:05 0 comments
Labels: Belajar Bahasa
Wednesday, 16 March 2011
KATA KERJA
Kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja. Frasa kerja terdiri daripada kata kerja yang boleh disertai beberapa unsur lain seperti kata bantu, objek pelengkap, ayat komplemen, dan keterangan. Beberapa contoh ayat yang mengandungi predikat frasa kerja adalah seperti yang berikut:
1. Ali tidur.
2. Mereka sedang membaca buku.
3. Adik Fatimah bermain di padang.
4. Pemandu itu membelok ke kanan.
5. Peristiwa itu disaksikan oleh dua ratus orang.
Dalam kelima-lima ayat di atas, kata kerja masing-masing ialah tidur dalam ayat (1), membaca dalam ayat (2), bermain dalam ayat (3), membelok dalam ayat (4), dan disaksikan dalam ayat (5).
Penggolongan Kata Kerja
Kata kerja sebagai golongan kata boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu:
(i) Kata kerja aktif.
(ii) Kata kerja pasif.
Kata Kerja Aktif
- Kata kerja aktif ialah kata kerja yang hadir dalam ayat aktif, iaitu ayat yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau yang diterangkan.
- Kata kerja aktif pula terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
(i) Kata kerja aktif tak transitif.
(ii) Kata kerja aktif transitif.
Kata Kerja Aktif Tak Transitif
Kata kerja aktif tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut, atau objek sesudahnya. Kata kerja aktif tak transitif dapat dibahagikan kepada dua subgolongan, iaitu:
(i) Kata kerja aktif tak transitif tanpa pelengkap
(ii) Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap
-Kata kerja aktif tak transitif tanpa pelengkap
Kata kerja aktif tak transitif tanpa pelengkap ialah kata kerja yang boleh berdiri tanpa objek atau penyambut seperti yang terdapat dalam contoh berikut:
6. Semua orang pulang.
7. Adik saya masih tidur.
8. Padi sedang menguning.
9. Pemuda itu tersenyum.
10. Mereka asyik berbual.
Kesemua ayat di atas terdiri daripada subjek dan kata kerja yang berdiri sendiri, iaitu tanpa pergantungan pada unsur lain untuk melengkapkan makna atau maksud ayat.
Kata kerja aktif tak transitif ini boleh diikuti oleh unsur keterangan, yang berfungsi memberikan maklumat tambahan. Ayat (6)-(10), misalnya, boleh ditambah unsur keterangan seperti yang berikut:
6 (a). Semua orang pulang pada waktu petang.
7 (a). Adik saya masih tidur di serambi.
8 (a). Padi sedang menguning di sawah.
9 (a). Pemuda itu tersenyum seorang diri.
10(a). Mereka asyik berbual di kedai kopi itu.
-Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap
Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap ialah kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut, kerana objek atau penyambut hanya hadir selepas kata kerja transitif dan boleh pula mengalami proses pasif. Pelengkap ialah unsur yang hadir selepas kata kerja tak transitif untuk menyempurnakan maksud ayat. Ayat dengan kata kerja aktif tak transitif yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan. Contoh kata kerja aktif tak transitif berpelengkap adalah seperti yang berikut:
11. Keadaan bapanya beransur baik.
12. Mereka tidak berbuat jahat.
13. Mereka tinggal di Kampung Paya.
14. Pengembara itu berselimutkan embun.
15. Dia menjadi guru.
Dalam ayat-ayat di atas, perkataan yang condong itu ialah kata kerja tak transitif, sementara unsur yang mengikutinya ialah pelengkap. Sekiranya pelengkap digugurkan, ayat-ayat yang terhasil tidak sempurna, contohnya:
11 (a). * Keadaan bapanya beransur.
12 (a). * Mereka tidak berbuat.
13 (a). * Mereka tinggal.
14 (a). * Pengembara itu berselimutkan.
15 (a). * Dia menjadi.
Demikian juga, ayat-ayat (11)-(15) tidak boleh dipasifkan, seperti yang ternyata dalam contoh berikut:
11 (b). * Baik diansurkan oleh keadaan bapanya.
12 (b). * Jahat tidak dibuat oleh mereka.
13 (b). * Di Kampung Paya ditinggal oleh mereka.
14 (b). * Embun diselimutkan oleh pengembara itu.
15 (b). * Guru dijadikan oleh dia.
Unsur-unsur yang menjadi pelengkap ini boleh terdiri daripada beberapa jenis, iaitu kata adjektif, frasa sendi nama dan kata nama.
(i) Kata adjektif sebagai pelengkap
Kata kerja aktif tak transitif boleh diikuti oleh kata adjektif seperti baik, lemah, miskin, kukuh, dan sebagainya sebagai pelengkap. Dalam konteks ini, kata adjektif berfungsi sebagai kata adverba. Contohnya :
16. Lukanya beransur baik.
17. Badannya menjadi lemah.
18. Orang kampung itu tinggal miskin.
19. Azam kumpulan itu bertambah kukuh.
20. Suasana dalam mesyuarat itu menjadi tegang.
(ii) Frasa sendi nama sebagai pelengkap
Kata kerja adjektif tak transitif boleh diikuti oleh frasa sendi nama yang membawa pengertian tempat yang berfungsi pengertian tempat yang berfungsi sebagai pelengkap, contohnya:
21. Keluarga Encik Ali berasal dari Pahang.
22. Kami tinggal di Pangsapuri Seri Bayu.
23. Mereka menetap di kampung ini.
24. Kereta itu membelok ke kiri.
25. Kapal kargo itu singgah di pelabuhan Pulau Pinang.
(iii) Kata nama sebagai pelengkap
Kata nama boleh menjadi pelengkap pada kata kerja aktif tak transitif yang menerima imbuhan ber-…-kan dan kata kerja menjadi dan ada. Contohnya :
26. Kami tidur berbantalkan lengan.
27. Pengemis itu baring bertilamkan rumput.
28. Pokok padi Wan Empuk berbatangkan emas.
29. Pengembara itu sungguh nyenyak berselimutkan embun.
30. Ali menjadi guru sandaran.
31. Abangnya menjadi penulis yang terkenal.
32. Pak samad ada sawah di kampung.
33. Mereka ada hadiah yang istimewa.
Kata kerja aktif transitif
Kata kerja aktif transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Contoh kata kerja aktif transitif dalam ayat:
34. Murid-murid sedang membersihkan kawasan sekolah.
35. Saya telah menjawab surat itu.
36. Pegawai itu tidak mengabaikan tugasnya.
37. Kami membaiki kereta kesayangan ayah.
38. Di memasukkan surat itu ke dalam sampul berdaftar.
Dalam contoh-contoh di atas, kata kerja membersihkan, menjawab, mengabaikan, membaiki, dan memasukkan ialah kata kerja transitif.
Kata Kerja Pasif
Kata kerja pasif ialah keta kerja hasil daripada proses transformasi atau perubahan ayat aktif menjadi ayat pasif. Ayat (34)-(38), apabila dipasifkan, menjadi seperti ayat berikut:
34 (a). Kawasan sekolah sedang dibersihkan oleh murid-murid.
35 (a). Surat itu telah saya jawab.
36 (a). Tugasnya tidak diabaikan oleh pegawai itu.
37 (a). Kereta kesayangan ayah kami baiki.
38 (a). Surat itu dimasukkannya ke dalam sampul berdaftar.
Contoh kata kerja dibersihkan dalam ayat (34(a)),saya jawab dalam ayat (35(a)), diabaikan dalam ayat (36(a)), kami baiki dalam ayat (37(a)) dan dimasukkan dalam ayat (38(a)) ialah bentuk kata kerja pasif. Bentuk ini diperoleh dengan menukarkan ayat berbentuk aktif menjadi ayat berbentuk pasif. Bahkan, salah satu ukuran yang dapat digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu kata kerja itu transitif atau tidak adalah dengan melihat sama ada kata kerja itu dapat mengalami proses pasif atau tidak.
Contoh kata kerja transitif aktif dan kata kerja transitif pasif adalah seperti di bawah. Selain imbuhan meN-…(kan/i) yang wujud dalam kata kerja transitif aktif, awalan ter- juga boleh hadir dalam kata kerja demikian, misalnya terlanggar, terminum, terpijak, dan tertelan. Contoh dalam ayat:
39. Bas persiaran itu terlanggar tembok rumah Ali.
Kata Kerja Transitif (ayat aktif) | Kata Kerja Transitif (ayat pasif) |
mengaturkan membelah mencampakkan mendenda mengekori menggaulkan mengharungi menjahit | diaturkan dibelah dicampakkan didenda saya ekori kami gaulkan anda harungi kujahit |
40. Pekerja itu terminum racun serangga.
41. Saya terpijak tangannya.
42. Dia tertelan biji nangka.
Kata kerja pasif juga boleh mengandungi awalan ter-, misalnya: terkarang, termaktub, terbina, dan ternampak. Contoh dalam ayat:
43. Buku itu terkarang oleh Za’ba.
44. Perkara itu sudah termaktub dalam perlembagaan.
45. Istana Raja Melaka terbina dalam masa dua bulan.
46. Asap kapal itu tidak ternampak lagi oleh mereka.
Posted by semarakbahasamelayu at 13:00 0 comments
Labels: Belajar Bahasa
Subscribe to:
Posts (Atom)